Jumaat, 14 November 2014

Tip Penjagaan Rambut Keriting

Comelnya kalau anak perempuan berambut keriting, kadang kala nampak macam anak patung. Namun kalau dibiarkan mengerbang, memang akan berserabut jadinya. Jadi, jika anda mempunyai anak yang berambut keriting tidak kira lelaki atau perempuan, ketahui cara penjagaan rambut jenis ini.

Jika rambut lurus, anda boleh menyikat rambut mereka menggunakan sikat biasa tetapi bagi anak berambut keriting, elakkan penggunaan sikat jenis berus. Sebaiknya gunakan sikat bergigi jarang untuk menyikat rambut keritingnya agar tidak merosakkan tekstur rambut si kecil.

Dalam soal mencuci rambut jenis keriting, anda disarankan sebaiknya mencuci rambut anak sebanyak dua hari sekali. Mencuci setiap hari akan membuatkan keadaan rambut dan kulit kepala si kecil lebih cepat kering. Tetapi, pastikan anda mencuci rambutnya dengan betul memandangkan kanak-kanak cepat berpeluh kerana keaktifan mereka bermain.

Jangan lupa menggunakan pelembut rambut khas untuk rambut kanak-kanak. Menjaga rambut keriting supaya tetap lembap sangat penting untuk mencegah rambut susah diurus dan menjadi kasar. Selepas mencuci rambutnya, biarkan ia kering secara semula jadi tanpa penggunaan alat pengering rambut.

Mungkin ada dalam kalangan anda suka memotong sendiri rambut anak. Namun, sekiranya anak anda berambut keriting, sebaiknya biarkan rambutnya dipotong oleh mereka yang pakar di salon rambut. Ini kerana rambut keriting memerlukan penelitian khusus daripada mereka yang pakar.

Catat Ulasan