Isnin, 10 Ogos 2015

3 Strategi Penting Komunikasi

Sumber: Irfan Khairi 


Untuk menjadi seorang pemimpin dalam perniagaan, keluarga atau tempat kerja, pastinya komunikasi adalah amat penting. Ianya mustahil menjadi seorang pemimpin tanpa kebolehan berkomunikasi dengan baik.


Masalahnya, ramai antara kita agak lemah dalam bidang komunikasi. Termasuk diri saya sendiri satu ketika dulu. Sebab itulah saya mulakan perniagaan Internet- sebab takut hendak berhadapan dengan orang, malu nak berjumpa pelanggan, tak berani membuat jualan bersemuka, dan banyak lagi alasan-alasan.


Berikut adalah 3 strategi komunikasi berkesan:


1. Dengar dan bukan hanya bercakap
Ramai yang berfikir, seorang yang hebat dalam komunikasi adalah seorang yang banyak bercakap. Ianya sememangnya tidak benar sama sekali. 


Untuk mencapai komunikasi berkesan, seseorang itu perlu banyak mendengar dan memberi respon terbaik. Fikirkan satu dialog dan bukan monolog. Komunikasi berkesan adalah apabila terdapatnya fahaman dua hala di mana kedua-dua pihak capai matlamat yang diinginkan, dan bukan hanya sebelah pihak sahaja.

Orang lain tidak akan mengambil endah apa yang kita ingin katakan selagi mereka tidak yakin dan tidak fikirkan kita mengambil berat tentang mereka. Komunikasi bukanlah dengan hanya bercakap mengenai diri kita sendiri, tetapi juga untuk kita sebagai komunikator yang efektif untuk memahami dan mengenali audien untuk memberi respon yang terbaik yang diinginkan.


Oleh itu, berhenti bercakap, tetapi dengar apa yang orang lain inginkan.


2. Permudahkan bahasa dan penyampaian

Pernah atau tidak anda mengalami satu situasi di mana anda menyampaikan maklumat kepada seseorang untuk disampaikan kepada orang yang lain. Tetapi, maklumat yang diterima oleh orang lain tersebut lain pula daripada apa yang anda ingin sampaikan?


Senario ini sering terjadi oleh kerana apa yang diterima oleh penyampai tersebut adalah berbeza seperti mana yang dirinya faham- tidak seperti apa yang anda faham dan ingin sampaikan. Mungkin bukan salah penyampai tersebut menyampaikan maklumat yang tidak tepat. Tetapi, silap diri sendiri dalam berkomunikasi dengan tidak berkesan dan menyukarkan.


Permudahkan bahasa dan penyampaian. Lebih mudah bahasa dan cara yang disampaikan, lebih mudah sesuatu mesej itu diterima. Tidak perlu menggunakan ayat atau perkataan yang hebat dan canggih sekadar mahu menunjuk bahawa kita pandai berkomunikasi menggunakan perkataan tersebut.


3. Komunikasi bukan hanya di mulut

Komunikasi bukan hanya di mulut sahaja, tetapi juga dengan bahasa badan (body language). Bercakap ketika menyilangkan tangan adalah umpama defensif. Bercakap ketika mata berkeliaran di tempat lain umpama menyorok sesuatu. Bercakap dnegan terlalu banyak "ermm", "aaa" umpama tidak berkeyakinan pula.


Perlu ingat bahawa untuk berjaya, komunikasi adalah amat penting. Tidak perlu menjadi pakar komunikasi, tetapi, memadai tahu serba sedikit asas komunikasi supaya dapat memberi kelebihan kepada diri sendiri. Bermula dengan asas, kemudian pastinya ia dapat memberi keyakinan kepada diri.


Catat Ulasan